Pengenalan

Agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia mengikut acuan Malaysia. Sehubungan itu, guru-guru seharusnya memiliki kualiti Standard Guru Malaysia seperti berikut: mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan.

Justeru, Program Latihan Mengajar yang dijalankan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia adalah berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dijelmakan dalam Falsafah Pendidikan Guru sebagai komponen penting dalam kurikulum program pendidikan guru. Guru pelatih Fakulti Pendidikan Teknikal Universiti Tun Hussein Onn Malaysia wajib menjalani latihan mengajar setelah memenuhi semua syarat yang ditetapkan oleh universiti. Program Latihan Mengajar ini menawarkan peluang pengalaman mengajar di tempat kerja kepada guru pelatih. Melalui program ini, guru pelatih dapat mengaplikasi pengetahuan dalam amalan sebenar, dan meningkatkan kompetensi kemahiran mengajar. 

Program Latihan Mengajar ini melibatkan pihak Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolahsekolah. Semua pihak diharap dapat bekerjasama dalam membangunkan profesionalisme guru pelatih berdasarkan kompetensi Standard Guru Malaysia.